Tuan Guru Hj Abdur
Rahman Limbong
Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur
Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285
H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan
Terengganu.
Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu
seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong
seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan
dunia.
Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di
mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya
simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia
sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.
Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang
disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang
ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di
dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana
melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.
Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam
sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak
ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.
Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji
Yaqub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga.
Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang
sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.
Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul
Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006).
Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman
Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti
kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.
Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil
Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm
al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan
kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah
al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.
Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur
Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan
ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.
Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama
yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk
mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja
penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu
di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya
Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.
Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah
Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga
terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang
panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan
Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan
perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan
murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa
mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat
barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang
berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala
Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula
ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh
orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di
Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai
di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji
Abdur Rahman Limbong.
Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari
ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau
menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan
utama bangunan ialah kayu cengal.
Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar.
Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang
saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya
tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak
memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan
yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi
ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.
Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman
bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur
Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak
kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga
pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang
disebutkan di atas.
*PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak
berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah
itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa
penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam
perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman,
mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.
Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang
melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat
Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina.
Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman
Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.
Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan
beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa
dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah
yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak
sah.
Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini,
perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar
dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan
Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang
bukan Islam.
Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di
Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan
keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya
adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.
Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke
Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian
(tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia.
Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat
golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.
Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah
di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka
oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa
Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah
berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya
di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya
hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah
Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka
miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari
Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang
pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang
Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji
Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap
tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.
Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam
pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih
kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata
putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa
Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa
penjajah.
No comments:
Post a Comment